Serendah Sikebun Bunga Holiday Homes yang terletak di Sik, Kedah merupakan antara pusat pelancongan yang mempunyai keistimewaan tersebut.Pusat pelancongan itu yang dikelilingi kebun getah dan dusun buah-buahan terletak di kaki bukit di Chepir dengan Sungai Sik mengalir di tepinya.
Jika dilihat peta, Serendah Sikebun Bunga terletak agak jauh ke dalam dan ia bukan suatu yang menghairankan kerana daerah Sik sendiri dianggap sebagai daerah pedalaman.Chepir terletak kira-kira 15 kilometer dari pekan Sik atau 85 kilometer dari ibu negeri Kedah Darul Aman, Alor Setar. Bagaimanapun daerah pedalaman itulah yang menjadikan Serendah Sikebun Bunga sebagai sebuah tempat istimewa khususnya bagi mereka yang mencintai alam sekitar dan mahu menikmati suasana kampung.
Keistimewaan Serendah Sikebun Bunga dapat dirasai apabila pengunjung tiba di persimpangan masuk pusat peranginan itu. Untuk masuk ke Serendah Sikebun Bunga, para pengunjung terpaksa melalui lorong kecil sejauh 50 meter sebelum tiba di pintu masuknya. Sebelum masuk ke Serendah Sikebun Bunga, pengunjung perlu melintasi jambatan kayu yang merentangi Sungai Sik.Walaupun lebarnya tidak seberapa tetapi dalamnya yang mencapai paras pinggang sudah cukup untuk membangkitkan rasa untuk bermandi-manda di dalam sungai yang jernih lagi sejuk airnya itu.
Terdapat beberapa calet lagi yang terletak di lereng bukit tetapi terlindung dengan pokok-pokok hutan dan buah-buahan.Rumah kayu itu pula adalah rumah rehat pemilik pusat pelancongan tersebut. Ia juga dijadikan pusat operasi menguruskan pendaftaran pengunjung. Bangunan madrasah selain menjadi tempat untuk beribadat, di bahagian bawahnya boleh dijadikan bilik persidangan yang boleh memuatkan kira-kira 80 orang.
Serendah Sikebun Bunga yang mempunyai 15 buah bilik termasuk dua buah asrama boleh menampung kira-kira 60 orang pada satu masa. Kadar bayaran penginapan ialah antara RM40 hingga RM200.Selain bilik penginapan, pusat pelancongan itu juga mempunyai sebuah balai yang sesuai diadakan majlis ceramah.
Terdapat pelbagai pokok buahan kayu seperti durian, rambutan, cempedak, dokong yang sedang membesar dan pokok langsat merupakan pemandangan biasa di kawasan percutian itu.Tidak lengkap jika kita mengunjungi Serendah Sikebun Bunga tanpa mendaki puncak bukit berhampiran kerana dari situ pengunjung boleh melihat pemandangan kawasan Chepir yang masih tebal dilitupi pokok-pokok hijau.
Website:www.wanazmisik.com/serendahsik/