Terletak dalam Hutan Simpan Rimba Teloi kawasan 72 dengan kedudukan 12 kilometer dari Pekan Sik atau 95 kilometer dari Bandaraya Alor Star. Dihubungi oleh jalan raya ke Kampung Weng yang berdekatan Sempadan Negara Malaysia-Thailand
Hutan Lipur Lata Mengkuang terdiri daripada Hutan Dipterokarp Pamah yang terletak sekitar 200 meter dari paras laut. Di sini terdapat pelbagai flora dan fauna seperti pokok Meranti Melantai, Meranti langgong, Meranti tembaga serta Palma. Terdapat sebatang sungai yang bernama Sungai Chepir yang mengalir di hutan lipur ini yang mempunyai aliran air yang jernih serta pemandangan batu-batan yang menarik sesuai untuk tempat perkelahan dan mandi-manda.
Terdapat denai hutan dari jalan balak lama sepanjang 5 km yang menghubungkan hutan ini dengan Hutan Lipur Lata Lembu. Kemudahan asas disediakan seperti untuk mandi, berkelah, berkhemah dan trekking. Di sini pengunjung boleh menjalankan aktiviti bersiar-siar, mendaki gunung dan melihat hidupan liar yang terdapat di kawasan hutan lipur ini.